10 Tahun Sebelum Merdeka

Merdeka!

Merdeka!

Merdeka!

Merdeka!

Merdeka!

Merdeka!

Merdeka!

Laungan keramat Tunku Abdul Rahman ‘Merdeka’ pada 31 Ogos 1957 di Stadium Merdeka menandakan berakhirnya secara rasmi jajahan British ke Tanah Melayu. Menariknya, Stadium Merdeka yang dibina khas sempena sambutan kemerdekaan Tanah Melayu hanya siap dibina sehari sebelum pemasyhuran kemerdakaan.  Seramai 20,000 orang termasuklah Raja-raja Melayu, perwakilan luar negara, anggota-anggota kabinet Persekutuan Tanah Melayu dan juga rakyat biasa membanjiri Stadium Merdeka bagi menyaksikan detik bersejarah Tanah Melayu ini.  Peristiwa ini merupakan satu simbolik pemulangan kuasa politik kepada rakyat Tanah Melayu selepas diperintah beratus tahun lamanya oleh orang asing bermula dari Portugis pada 1511, Belanda pada 1641, British pada 1824 dan juga Jepun pada 1941.

Mengimbas kembali beberapa bulan sebelum 31 0gos 1957, rancangan kemerdekaan untuk Persekutuan Tanah Melayu bermula pada 8 Februari 1956 di Lancaster House, London. Satu Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu telah ditandatangani di antara Tunku Abdul Rahman Putra, Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu bagi pihak kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dengan Mr. Alan Lennox-Boyd, Setiausaha Negara Tanah jajahan British bagi pihak Kerajaan British.

Sekembalinya Tunku Abdul Rahman bersama rombongan kemerdekaan dari London pada 20 Februari 1957 di Padang Bandar Hilir, Tunku mengumumkan bahawa tarikh kemerdekaan Tanah Melayu adalah pada 31 0gos 1957 hasil daripada persetujuan Perjanjian Kemerdekaan yang ditandatangani antara pihak Persekutuan Tanah Melayu dan juga British.

Membaca kembali detik-detik keramat ini, membuatkan kita terjebak dengan nostalgia lalu. Meskipun tidak mengalami sendiri situasi yang bermakna ini, ianya tetap memberikan kita satu kebanggaan yang boleh diceritakan untuk generasi hadapan. Terlalu banyak kisah yang boleh diceritakan bagaimanakah lahirnya Tanah Melayu dan Malaysia kemudiannya. Sama ada yang tertulis dalam buku teks sejarah, ataupun hanya tersimpan kemas dalam memori mereka yang kisahnya tidak disebar luas. Jika Indonesia mempunyai Soekarno dan Amir Sjarifudin Harahap, apakah Tanah Melayu mempunyai kisah serupa?

Apakah ada sisi hitam dibalik lautan putih?

*

Kebanyakan daripada kita mungkin tidak pernah menonton Sepuluh Tahun Sebelum Merdeka ataupun mungkin tidak pernah langsung mendengar apa-apa mengenainya. Sepuluh Tahun Sebelum Merdeka adalah sebuah filem dokumentari yang dihasilkan oleh Fahmi Reza, seorang aktivis pada Novemver 2007.  Pada tahun yang sama juga, 1957: Hati Malaya arahan Shuhaimi Baba juga dihasilkan untuk tontonan masyarakat sebagai simbolik 50 tahun Tanah Melayu merdeka.  Jika dibandingkan kos perbelanjaan pembikinan filem, ternyata filem 1957: Hati Malaya jauh mendahului filem dokumentari Sepuluh Tahun Sebelum Merdeka. 1957: Hati Malaya memerlukan kos sebanyak RM 3 juta dengan barisan pelakon terkenal seperti Rusdi Ramli, Maya Karin, Adlin Aman Ramli dan Sharifah Amani. Sedangkan, Sepuluh Tahun Merdeka hanya memerlukan kos sebanyak RM 5000 dan veteran perang sahaja. Langit dan bumi jika mahu dibandingkan daripada segi perbelanjaan dan produksinya.

Sepuluh Tahun Sebelum Merdeka dan 1957: Hati Malaya adalah dua garis masa bersejarah yang mencorakkan tanah air kita pada hari ini. Kedua-duanya berkesinambungan antara satu sama lain tetapi satunya adalah merupakan cerita yang tidak diceritakan sedangkan satu yang lain adalah pengetahuan umum yang diajar dalam buku- buku teks sekolah dan juga media massa. Sepuluh Tahun Sebelum Merdeka menceritakan apa yang berlaku 10 tahun sebelum Tanah Melayu merdeka daripada jajahan British.  Sedangkan naratif penceritaan 1957: Hati Malaya adalah perkembangan Tanah Melayu dalam mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Kedua-dua filem ini saling melengkapi walau satunya diberikan promosi secara meluas sedangkan yang satu lagi hanya sekadar di laman You Tube sahaja.

Apakah yang sebenarnya berlaku 10 tahun sebelum merdeka?

Seperti yang kita ketahui dalam buku-buku teks sejarah, kemerdekaan tanah air kita melalui usaha golongan sayap kanan tanpa sebarang pertumpahan darah. Kemerdekaan kita diperolehi melalui meja rundingan dengan pihak British hasil usaha rombongan kemerdekaan yang diketuai oleh Tunku Abdul Rahman pada Februari 1957. Ini adalah cerita yang diberitahu kepada kita melalui buku-buku teks sejarah ini. Kemerdekaan kita kecapi pada hari ini adalah hasil kerja usaha golongan nasionalis bersayap kanan, yang menjadikan meja rundingan sebagai medium kemerdekaan.

Menonton filem dokumentari Fahmi Reza, Sepuluh Tahun Sebelum Merdeka membawa kita menyelusuri hari-hari yang membawa kepada Hartal Tanah Melayu pada 20 Oktober 1947. Melalui pengarahan Fahmi Reza, kita ditawarkan satu naratif dan perspektif yang berbeza dalam melihat apa yang berlaku di Tanah Melayu pra merdeka. Jika melalui filem 1957: Hati Malaya, kita dapat menilai sejarah melalui kacamata A, manakala Sepuluh Tahun Merdeka membolehkan kita mendengar cerita daripada kacamata B. Kedua-duanya membawa kepada satu titik persamaan yang sama, kemerdekaan Tanah Melayu.

Siapakah PUTERA? Siapakah AMCJA?

 PUTERA (Pusat Tenaga Rakyat) adalah satu organisasi yang menggabungkan golongan kiri Melayu sebagai tindak balas kepada cadangan British yang mahu melaksanakan Malayan Union. Organisasi ini diketuai oleh Ishak Haji Muhammad atau lebih dikenali sebagai Pak Sako daripada Parti Kebangsaan Bersatu Malaya (PKMM). PUTERA disokong oleh enam lagi parti politik yang lain seperti Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Pemuda Insaf (API) yang diketuai oleh Ahmad Boestamam, Angkatan Wanita Sedar (AWAS) yang dipimpin oleh Shamsiah Fakeh, Gerakan Angkatan Muda (GERAM) oleh Aziz Ishak dan Abdul Samad Ismail, Barisan Tani SeMalaya (BATAS) oleh Musa Ahmad, and Majlis Agama Tertinggi SeMalaya (MATA) yang diketuai oleh Hizbul Muslimin. Selain daripada PUTERA, pakatan ini turut disokong oleh All-Malaya Council of Joint Action (AMCJA) yang mengandungi golongan nasionalis kiri bukan Melayu. Gabungan ini menolak idea British yang ingin melaksanakan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang hanya menguntungkan kolonial British.

“"Perang Jepun tu banyak mengubah fikiran kita. Rupanya kalau tak ada orang putih ni pun boleh. Dulu kita terfikir kalau tak ada orang putih ni, mati kita. Bila dah Jepun memerintah tiga tahun lapan bulan, kita terfikir, tak ada orang putih pun boleh jugak."

--Yahya Nassim Haji Hussein dalam ‘Sepuluh Tahun Sebelum Merdeka’.

Selepas kegagalan British untuk melaksanakan Malayan Union hasil daripada bantahan ramai pihak ketika itu, British kemudiannya memutuskan untuk melaksanakan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Cadangan British ini dibantah oleh golongan kiri nasionalis yang merasakan perlembagaan yang sedang dirangka oleh British itu tidak memulangkan kembali kuasa politik kepada penduduk Tanah Melayu selain daripada hanya menguntungkan British sahaja. Sebuah negara yang merdeka perlulah mempunyai perlembagaan yang ditulis oleh rakyatnya sendiri. Perlembagaan ini mestilah mempunyai aspirasi dan roh rakyat.  Seterusnya, golongan kiri nasional melalui gabungan PUTERA-AMCJA mencadangkan pelaksanaan Perlembagaan Rakyat dan sebuah negara Malaya yang merdeka.

Di atas kertas idea Perlembagaan Rakyat oleh golongan kiri nasionalis ini jauh lebih baik dan adil berbanding dengan Perlembagaan Persekutuan yang dirangka isinya oleh British dan golongan nasionalis kanan. Akan tetapi, pakatan golongan nasionalis kiri ini tidak dilayan dan diiktiraf oleh British kerana pakatan ini terbentuk daripada parti-parti berhaluan kiri yang bersikap radikal terhadap pemerintahan British. Pakatan golongan nasionalis kiri ini yang terdiri daripada pelbagai idealisme seperti sosialis dan juga komunis dianggap mampu mencabar hegemoni British yang baru sahaja pulih daripada Perang Dunia Kedua.

"The unity we talked about never mention the racial aspect as is emphasised nowadays. All we wanted was that all the trade unions, all the workers, all the women, all the organisations to join in, in a broad front to oppose the British return of the Governor to rule the country."

-- Lim Kean Chye dalam 'Sepuluh Tahun Sebelum Merdeka'

*
Hartal Tanah Melayu

Hartal adalah perkataan berasal dari Asia Selatan yang boleh didefinisikan sebagai bantahan. Rekod awal menunjukkan terma hartal oleh Mahatma Gandhi dalam usahanya untuk membolehkan India mencapai kemerdekaan daripada British.  Secara mudahnya, hartal adalah satu bentuk protes atau mogok umum yang tidak melibatkan sebarang keganasan. Tiada perhimpunan atau tunjuk perasaan, yang ada hanyalah pemboikotan daripada melakukan urusan kerja dan harian secara keseluruhan.  Tempat-tempat yang berlaku urusan harian seperti pejabat, kedai runcit, kilang, ladang, makhamah dan premis- premis yang terutamanya bersangkut paut dengan ekononomi ditutup secara keseluruhan sepanjang berlakunya hartal.

Hartal adalah satu bentuk civil disobedience, yang dilakukan untuk menuntuk sesuatu dan membantah sesuatu. Ianya adalah satu tindakan yang dilakukan oleh rakyat bagi menuntut pemerintah menukar sesuatu keputusan yang tidak popular dan menindas rakyat. Antara pelaksanaan Hartal yang terkenal ialah Hartal Mahatma Gandhi di India dan juga Hartal Ceylon 1953 selain daripada Hartal Tanah Melayu 1947.

Hartal Tanah Melayu yang berlaku pada 20 Oktober 1947 sebagai tindak balas golongan nasionalis kiri terhadap British dan golongan nasionalis kanan yang tidak berganjak daripada keputusan mereka untuk melaksanakan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Golongan nasionalis kiri ini yang dibantu oleh akhbar Utusan Melayu menyebarkan berita mengenai pelaksanaan hartal pada 20 Oktober 1947. Selain itu, mereka juga pergi ke kampung-kampung bagi memberitahu perihal berkaitan hartal ini. Hasil usaha keras ini, orang ramai yang terdiri pelbagai bangsa mula mendapat kesedaran dan juga semangat untuk melaksanakan hartal.


Apakah yang berlaku sepanjang Hartal?

“Jalan raya lapang, kereta - kereta sedikit sahaja berjalan.

Hartal berjaya dijalankan di Kuantan. Setiap kedai Melayu di Kuantan tutup pada hari Hartal.

3 bandar utama di Kedah turut berhartal.

Di Ipoh, pawagam dan taman hiburan di tutup.

Semua estet di Selangor berhenti bekerja “

-- Sepuluh Tahun Sebelum Merdeka

20 Oktober 1947, berlakunya satu mogok besar-besaran yang tidak pernah dilakukan dan dilihat di Tanah Melayu. Semua premis ditutup. Rakyat hanya duduk di rumah sahaja siang dan malam sepanjang hari itu. Jalan-jalan di bandar lenggang tanpa sebarang orang. Satu protes besar-besaran yang merentasi bangsa dan tempat. Satu Tanah Melayu lumpuh akibat hartal pada hari itu. Ini memberikan kejutan yang besar kepada British. Kejayaan hartal Tanah Melayu 20 Oktober 1947 mendapat liputan meluas akhbar-akhbar tempatan keesokan harinya. Selain itu, kejayaan hartal ini turut menjadi bahan berita akhbar antarabangsa yang menyaksikan bagaimana penduduk Tanah Melayu berjaya memalukan British. Pihak British marah tidak kepalang. Walau hartal hanya berjalan sehari sahaja, kerugian yang terpaksa ditanggung berjumlah sebanyak 4 juta pound sterling. Satu jumlah yang besar jika diambil kira nilaian wang pada ketika itu. Ladang-ladang getah dan juga lombong-lombong timah tidak beroperasi, dan ini memberikan tamparan hebat kepada British yang berada di ambang bankrapsi akibat Perang Dunia Kedua.

*

Pasca hartal Tanah Melayu 1947, pihak British mula mengambil tindakan keras kepada golongan nasionalis kiri. Mereka yang berhaluan kiri dan tidak sebulu dengan pihak British akan ditangkap dan dipenjarakan atas alasan membasmi komunisme dan sosialisme yang diwartakan salah di sisi undang-undang. Ada sebahagian daripada mereka yang berjaya melarikan lalu mengambil keputusan untuk mengangkat senjata dan berjuang secara gerila. Kemuncaknya pada Jun 1948, darurat di diisytiharkan di seluruh Tanah Melayu dan berlanjutan hingga 12 tahun lamanya. Askar-askar dari negara Komanwel dibawa masuk bagi membasmi anasir-anasir komunis yang cuba menguasai Malaya. Sepanjang 12 tahun ini, rakyat Tanah Melayu terpaksa berhadapan dengan penahanan tanpa bicara, sekatan jalan raya, pembunuhan yang berleluasa, perintah berkurung dan pelbagai jenis lagi undang-undang darurat.

*

Sepuluh Tahun Sebelum Merdeka oleh Fahmi Reza tidaklah se-gah seperti 1957: Hati Malaya daripada segi kos pembikinannya dan juga barisan pelakonnya. Akan tetapi, filem dokumentari Sepuluh Tahun Sebelum Merdeka adalah satu perspektif penting kepada pembacaan sejarah tanah air kita yang tidak dapat diperolehi melalui buku-buku teks di sekolah. Jika 1957: Hati Malaya membawa kita mendekati kepada detik-detik kemerdekaan negara kita manakala menonton Sepuluh Tahun Merdeka seharusnya membuka pandangan kita tentang bagaimana kita menafsirkan erti kemerdekaan kita pada hari ini. Perjuangan golongan nasionalis kiri yang cintakan tanah air sepatutnya diberikan penghargaan sewajarnya dalam lipatan sejarah negara kita sebagaimana kita turut mengangkat golongan nasionalis kanan. Usah bersikap objektif dalam menilai sejarah. Ianya satu topik yang subjektif yang bergantung kepada persoalan perspektif. Sepuluh Tahun Sebelum Merdeka dan 1957: Hati Malaya membawa kita mendalami dua perspektif berbeza yang membawa kepada satu jalan yang cerita sama.

Ini adalah kisah hati Malaya.

Ini adalah kisah hati kita semua.

Comments

Popular posts from this blog

Resmi Padi & Resmi Lalang

Memaknakan Ilmu