Azazil

Azazil.

Adam.

Iblis.

Manusia.

Satu kisah permusuhan yang panjang melangkaui batasan syurga dan dunia. Tidak akan pernah tamat sehinggalah tiba kiamat nanti. Azazil ataupun Iblis tidak akan pernah berhenti dalam pembalasan dendamnya kepada makhluk Tuhan bernama manusia. Sesekali tidak akan pernah berhenti membawa seramai mungkin keturunan Adam menerima kutukan Tuhan di hari pembalasan nanti. Itulah tugas dan misinya agar kutukan Tuhan tidak dikongsi oleh hanya dia seorang sahaja. Manusia juga perlu merasainya!

“Kerana Adam lah, Azazil menerima kutukan!”

Tidak akan pernah dia terlupa.

“Celakalah kau wahai Adam! Kerana mu, Tuhan memberikan kutukan!”

Azazil tidak akan pernah melupakan.

*

Kisah berlaku lama sebelum Adam diciptakan oleh Tuhan bertempat di syurga. Azazil bukanlah calang. Paras rupanya rupawan cemerlang, bersayap empat, mempunyai pengetahuan ilmu yang luas, paling abid kepada Tuhan dan begitu banyak sekali kelebihannya. Cukup untuk membuktikan Azazil bukanlah makhluk Tuhan yang biasa. Dia hebat! Apatah lagi, Azazil juga merupakan imam para malaikat dan Khazin Al-Jannah. Sungguh hebat reputasi Azazil. Sememangnya ciptaan Tuhan yang istimewa.

Sungguh taat Azazil beribadah kepada-Nya sehingga dikatakan tiada tempat di dunia ini yang tidak dijadikan tempat sujudnya ke arah Tuhan. Bukan sekejap dia beribadat. Cukup lama. Hingga ada yang mengatakan selama 80 000 tahun dia beribadah kepada Tuhan. Sangat jauh bezanya jika dibandingkan manusia yang itu pun dalam riwayat kehidupannnya, mungkin tidak sampai separuh usianya di gunakan untuk beribadah kepada Tuhan. Beza.

Sesungguhnya, Azazil itu bukanlah calang- calang ciptaan.

Akan tetapi.

Roda takdir mula berputar arah.

*

“Adanya satu hamba Allah yang beribadah selama 80 000 tahun tetapi hanya keran satu kesalahan, maka ibadah hamba itu tidak diterima Allah dan hamba itu terlaknat sehingga hari Kiamat”

Terlihat Israfil di Luh Mahfuz mengenai satu suratan. Satu suratan yang cukup untuk menerbitkan perasaan sangat risau dan  dalam kalangan malaikat. Takut takut mereka itulah yang dilaknat oleh Tuhan. Maka menangislah sekalian malaikat mengenangkan nasib mereka. Merekakah yang dilaknat itu?

Lalu datanglah sekalian malaikat berjumpa Azazil. Imam sekalian malaikat. Meminta agar di doakan diri mereka dilepaskan daripada suratan Luh Mahfuz itu. Lalu Azazil berdoa untuk mereka.

“Ya Allah janganlah engkau murka terhadap para malaikat”

Sayangnya, Azazil terlupa akan dirinya sendiri. Dia terlupa untuk mendoakan dirinya sendiri daripada terlepas oleh laknat Tuhan itu. Menuju Azazil ke syurga dan terlihat dia di pintu syurga satu suratan.

“ Ada satu hamba dari kalangan hamba-hamba Allah yang muqarrabin yang telah diperintahkan Allah untuk membuat satu tugasan, tetapi hamba tersebut mengengkari perintah Allah tersebut. Lalu dia tergolong dalam golongan yang sesat dan terlaknat”

Satu suratan yang cukup keras.

Malahan bakal mengubah lanskap kehidupan dunia.

Azazil tidak tahu.

Dia masih belum tahu.

*
“Sesungguhnya Aku hendak menciptakan seorang khalifah di muka bumi” (2:30)

Malaikat seraya membalas

“ Ya Allah, mengapa Engkau hendak menjadikan khalifah di muka bumi, yang hanya akan membuat kerosakan dan menumpahkan darah di muka bumu, padaha kami sentiasa bertasbig dengan memuji Engkau dan menyucikan Engkau” (2:30)

Tuhan menyakinkan kembali

“Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui” (2:30)


Maka seperti yang tersurat, Adam diciptakan daripada tanah.  Lalu Tuhan memerintahkan sekalian malaikat sujud  sebagai tanda menghormati Adam. Malaikat sujud hormat. Tetapi tidak ketua mereka.
Tidak lain tidak bukan, Azazil.

Pada hemat Azazil, mana mungkin dia yang diciptakan daripada api sujud hormat kepada Adam yang hanya diciptakan daripada tanah yang hina. Sungguh dia merasakan yang dirinya itu jauh lebih baik daripada ciptaan Tuhan yang bernama Adam itu. Sepatutnya dia yang lebih layak dipilih Tuhan sebagai Khalifah di muka bumi. Bukannya Adam. Sombong. Takabbur. Iri hati Azazil membiak pantas.

Masih dengan egonya yang tinggi, Azazil sama sekali tidak bersujud kepada Adam. Walaupun Tuhan menyuruhnya berbuat demikian. Tuhan mengambil keputusan. Azazil dilucutkan jawatan. Dihalau keluar dari syurga. Malahan diberi gelar Iblis. Tanda kutukan yang nyata daripada Tuhan. Hanya kerana satu ketidak patuhan arahan daripada Tuhan, Azazil kini bertukar darjat. Daripada ketua segala malaikat kepada makhluk yang paling dilaknat.

Azazil yang kini bertukar nama menjadi Iblis, masih sempat meminta kepada Tuhan. Bukan pengampunan yang dipinta. Bahkan penegasan yang sememangnya dia lebih baik daripada ciptaan tanah itu. Sungguh sombong. Memintanya dia daripada Tuhan agar diberikan umur yang panjang selagi mana manusia itu hidup di atas muka bumi, selagi itu dia terus bernyawa. Tuhan memperkenankan.

Lantas dia bersumpah, yang anak anak Adam seluruhnya akan disesatkan kecuali mereka yang mukhlis. Tuhan yang maha pemurah sekali lagi memperkenankan. Permintaan Iblis diterima dan Tuhan menitahkan yang Neraka Jahanam sebagai pembalasan kepada diri Iblis dan kepada mereka yang mengikutinya.

Maka bermulalah satu kisah panjang permusuhan nyata yang bermula di syurga dan hanya akan berakhir apabila kiamat menjelang nanti. Ternyata sungguh lama permusuhan ini. Melangkaui bergenerasi anak cucu Adam.

Iblis tidak akan pernah berhenti. Membawa seberapa ramai keturunan Adam bersama-sama merasai kutukan Tuhan di akhirat nanti.

Azazil tidak akan pernah lupa.

Iblis tidak akan pernah lupa.

Hanya manusia yang mungkin sahaja lupa.


Comments

Popular posts from this blog

Resmi Padi & Resmi Lalang

10 Tahun Sebelum Merdeka

Memaknakan Ilmu